Negeri Sembilan tarik pelabur bioteknologi dari China – Aminuddin

Bernama Bernama 03/06/2025 16.53MYT


PETALING JAYA: Negeri Sembilan terus menjadi destinasi pilihan pelabur asing dalam segmen bioteknologi apabila beberapa syarikat dari China telah menyatakan minat untuk melabur di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata hasrat itu disuarakan oleh beberapa pelabur dan syarikat bioteknologi dari China ketika lawatan kerajaan negeri ke negara tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, mereka berminat untuk memindahkan operasi ke Negeri Sembilan serta meminta kerajaan negeri menyediakan kawasan khusus bagi tujuan tersebut.
“Setakat ini, perbincangan masih berjalan antara kerajaan negeri dengan syarikat serta pelabur yang berminat, namun, kami telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan segmen bioteknologi ini iaitu di Bandar Enstek.
“Menerusi kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (TH), Negeri Sembilan akan menyediakan kawasan seluas kira-kira 400 ekar (161.88 hektar) bagi menempatkan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada majlis MIDF Lunch Talk, Negeri Sembilan: The Next Smart Frontier, di sini, hari ini.
Aminuddin berkata sekiranya persetujuan berjaya dicapai antara kerajaan negeri dengan para pelabur ini, kerja-kerja pembinaan akan dilakukan secepat mungkin.
Sementara itu, mengenai cadangan pelabuhan kontena kecerdasan buatan (AI) sebagai Zon Perdagangan Bebas (FTZ) di Pasir Panjang Port Dickson, beliau berkata pembinaan akan dijalankan selepas proses pemerolehan tanah selesai.
Menurutnya, peringkat awal pembinaan pelabuhan AI itu akan melibatkan tanah berkeluasan 600 ekar (242.81 hektar) daripada jumlah keseluruhan kira-kira 647.49 hektar tanah.
“Kita dapat kelulusan membina jeti ataupun pelabuhan AI di Port Dickson dan kita juga telah berbincang dengan tuan tanah, sebanyak 600 ekar (kini) di peringkat akhir untuk kita tanda tangan,” katanya.
Sementara itu menerusi ucapan beliau, Aminuddin berkata ketika ini terdapat lebih 500 syarikat pembuatan asing dan tempatan yang beroperasi di Negeri Sembilan dengan kebanyakannya tertumpu di Seremban khususnya Nilai, Senawang, Sendayan dan Enstek.
Antara syarikat multinasional yang bertapak di negeri tersebut ialah Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd, Dutch Lady Milk Industries Bhd dan Ajinomoto (Malaysia) Bhd.
“Selain menyumbang kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negeri, keberadaan syarikat ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, mengukuhkan rantaian nilai dan umumnya melonjakkan ekonomi negeri.
“Di samping itu, kehadiran syarikat multinasional ini juga memberi imej baik kepada negeri dalam meningkatkan keyakinan bakal pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata pada 2024 Negeri Sembilan merekodkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM7.25 bilion yang bakal mewujudkan lebih 4,600 peluang pekerjaan.
Sepanjang tempoh dari 2019 – 2024, lima negara yang merupakan penyumbang tertinggi pelaburan asing di negeri tersebut adalah Korea Selatan dengan pelaburan sebanyak RM7.49 bilion, diikuti Sweden (RM5.06 bilion), Belanda (RM2.38 bilion), Singapura (RM2.38 bilion) dan Jepun (RM1.66 bilion).
— BERNAMA
References from: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/negeri-sembilan-tarik-pelabur-bioteknologi-dari-china-aminuddin-523575?utm_source=chatgpt.com

Compare listings

Compare