Oleh Mohd Zaky Zainuddin – Jun 4, 2025 @ 4:44pm
KUALA LUMPUR: Yayasan Lee Tian Hock Yong Chou Lian mengumumkan pembangunan Kompleks Arena Seremban, projek gaya hidup lima-dalam-satu bernilai RM250 juta yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan.
Projek yang dibangunkan oleh Karisma Perwira Sdn Bhd, anak syarikat yayasan diasaskan Datuk Seri Lee Tian Hock itu bakal dilancarkan secara rasmi pada 28 Jun ini, sekali gus menjadi satu titik permulaan baharu kepada transformasi landskap bandar Seremban.
Tian Hock berkata, projek terbabit bukan sekadar pembangunan hartanah, malah menjadi manifestasi visi beliau untuk menjadikan Seremban sebuah bandar moden yang inklusif serta berdaya saing.
“Kompleks ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh daya tarikan pelancongan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai simbol pelancaran, acara sambutan awam dinamakan Sinaran Karisma akan dianjurkan, menampilkan persembahan artis popular tanah air termasuk Datuk Sheila Majid, Ara Johari dan Tedd Chen.
Kemasukan adalah percuma dan orang ramai boleh mendapatkan sehingga empat tiket seorang bermula 8 Jun melalui Ticket2U (ticket2u.com.my).
Pelancaran rasmi Kompleks Arena Seremban akan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Projek itu dilihat sebagai satu langkah penting ke arah pembangunan ekonomi dan sosial bandar Seremban.
Terletak di tapak seluas kira-kira 1.8 hektar dengan keluasan binaan 650,000 kaki persegi, kompleks berkenaan menggabungkan lima komponen utama yang menyokong gaya hidup moden dan pelbagai aktiviti komuniti.
Komponen pertama ialah Karisma Arena, sebuah stadium dalaman bertaraf antarabangsa setinggi tujuh tingkat yang mampu memuatkan 3,000 penonton.
Stadium itu dijadual dibuka pada 8 Jun, manakala tempahan untuk acara akan bermula pada bulan Julai.
Komponen kedua adalah Arena Premier Hotel, sebuah hotel 99 bilik lengkap dengan kemudahan seperti ruang lobi, dewan acara, kafe dan parkir bawah tanah yang sudah beroperasi.
Menara Karisma, sebuah blok pejabat tujuh tingkat pula menjadi komponen berikutnya, menyediakan empat tingkat ruang kerja serta parkir khusus untuk kegunaan korporat dan penyewa.
Komponen keempat ialah Arena Square, yang menawarkan 10 unit ruang komersial berkeluasan keseluruhan 10,300 kaki persegi.
Ia disasarkan untuk penyewa dalam sektor runcit, makanan dan minuman serta gaya hidup.
Sementara itu, Arena Residences ialah sebuah menara apartmen servis 20 tingkat yang akan menempatkan 195 unit kediaman moden yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Kompleks itu turut direka sebagai hab acara dan komuniti, yang mampu menganjurkan pelbagai program seperti konsert, persembahan kebudayaan, kejohanan sukan dalam dewan, e-sukan, ekspo kecergasan dan seminar korporat.
Dengan lokasi strategik serta kemudahan lengkap, Kompleks Arena Seremban dijangka menarik perhatian penganjur acara, pelancong, penduduk tempatan dan syarikat korporat dari dalam dan luar negara.
References From: Kompleks Arena projek lima-dalam-satu bakal ubah landskap Seremban