Seremban Sentral bakal jadi ‘wow faktor’ baharu

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen Majlis Menandatangani
Perjanjian diantara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif
Datuk Azhar Ahmad (tiga, kiri) dan Kumpulan Sunway Pegawai Eksekutif Sunway Property,
Chong Sau Min (dua, kanan) bagi Pembangunan Berorientasikan
Transit Sunway Seremban Sentral pada Khamis. Foto Bernama

SEREMBAN – Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) Seremban Sentral di atas tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) seluas 8.4 hektar bakal menjadi ‘faktor wow’ baharu di bandar raya ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kumpulan Sunway telah dipilih sebagai pemaju utama projek berkenaan selepas proses pemilihan dibuat melalui kaedah Request for Proposal (RFP) yang kompetitif.

Menurutnya, Seremban sebagai sebuah bandar lama memerlukan pemangkin untuk membangunkan dan merancakkan ekonomi bandar raya tersebut.

“Sebagai ibu negeri yang kian pesat membangun, Seremban memerlukan pusat bandar raya moden, mampan dan tersusun.

“Seremban Sentral bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan itu dengan menyatukan komponen perumahan, komersial, pusat perubatan, institusi pengajian tinggi, kemudahan awam, sosial dan pengangkutan dalam satu ekosistem yang terangkum,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) pembangunan tersebut antara RAC dan Kumpulan Sunway di Hotel Royale Chulan di sini.

MoU itu ditandatangani oleh RAC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min.

Turut hadir, Pengasas merangkap Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

 

Projek ini bakal dibangunkan dengan pelbagai pembangunan baharu meliputi kediaman pelbagai segmen, pusat perniagaan, pusat perubatan, komersial dan pengangkutan awam bersepadu. – Foto Sunway

 

Anthony berkata, projek Seremban Sentral yang akan dibangunkan berhampiran dengan Stesen Keretapi Seremban sedia ada akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Seremban baharu yang akan dibina di bawah projek Klang Valley Double Track 2 (KVDT2).

Ujarnya, projek itu dijangka siap pada Disember 2028 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.

“Selain aspek pembangunan moden, projek ini turut mengambil pendekatan berhemah dalam pemuliharaan warisan dengan mengekalkan Stesen Keretapi Seremban sedia ada.

“Stesen kereta api yang dibina sekitar tahun 1904 hingga 1910 dan diiktiraf sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) akan dikekalkan serta diintegrasikan ke dalam reka bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan,” ujarnya.

Selain itu, katanya, inisiatif Seremban Yard pula akan menampilkan gudang kereta api lama sebagai ruang kreatif dan keusahawanan komuniti yang bakal menjadi tarikan pelancongan serta pusat ekonomi kreatif.

Ujar beliau, tempoh pembangunan keseluruhan projek ini dijadualkan mengambil masa selama 14 tahun dengan fasa pertama pembangunan yang membabitkan pusat perubatan dan Seremban Yard dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.

“Ia akan dapat meningkatkan nilai hartanah dan ekonomi setempat selain nilai guna tanah rizab kereta api di sini akan dioptimumkan melalui pembangunan bercampur yang merangkumi komponen perumahan, komersial dan awam.

“Selain itu, cadangan pembangunan ini akan membuka sehingga 1,500 peluang pekerjaan baharu apabila komponen-komponen komersial beroperasi sepenuhnya dalam sektor peruncitan, pengurusan hartanah, logistik dan pelancongan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak yang terlibat – kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seremban, agensi-agensi teknikal, pelabur dan pemaju – agar dapat bekerjasama secara rapat serta memudahkan prosedur kelulusan berterusan demi menjayakan visi ini.

 

References From: https://www.sinarharian.com.my/article/727357/edisi/melaka-ns/seremban-sentral-bakal-jadi-wow-faktor-baharu

Compare listings

Compare